Penyerang Uruguay, Darwin Nunez bertindak masuk ke tempat duduk penyokong dan menyerang penyokong Colombia yang mabuk selepas perlawanan terbaru Copa America 2024.
Aksi separuh akhir Copa America 2024 menyaksikan La Celeste dan La Tricolor berentap untuk memburu tiket final kejohanan. Pemenang bakal berdepan Argentina di peringkat dengan pasukan yang tewas bersaing dengan Kanada untuk memburu tempat ketiga.
Pemain tengah Crystal Palace, Jefferson Lerma muncul wira Colombia dengan meledakkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-39. Gol tersebut memusnahkan impian Uruguay memburu trofi Copa America buat kali ke-16.
Akhbar Daily Mail melaporkan selepas tamat perlawanan, Nunez bertindak masuk ke tempat duduk penyokong. Ini selepas penyerang Liverpool itu melihat seorang penyokong La Celeste ditumbuk penyokong La Tricolor yang mabuk.
Penyerang berusia 25 tahun itu berbuat demikian bagi melindungi keluarganya yang berada berhampiran dengan tempat duduk penyokong. Beliau kemudiannya disertai oleh Jose Maria Gimenez dan Ronald Araujo.
Nunez kemudiannya dilihat menenangkan anak perempuannya yang masih kecil selepas tamat perlawanan. Susulan itu, pasukan keselamatan mengiringi keluarga pemain Uruguay keluar mengikut laluan alternatif sebagai langkah keselamatan.
Gimenez yang juga kapten Uruguay menyifatkan tingkah laku penyokong Colombia sebagai memalukan dan mengancam keselamatan orang lain.
“Ini sesuatu yang memalukan, tiada satu pun pegawai polis untuk mengawal mereka. Kami terpaksa pergi dan mempertahankan warga kami hanya kerana mereka tidak boleh mengawal tabiat minum mereka,” katanya.
La Celeste selepas ini akan menentang Kanada untuk menentukan pemenang tempat ketiga/keempat. Sementara La Tricolor pula akan turun menentang Argentina pada pagi 15 Julai ini.