Juara dunia tiga kali Argentina bermandi peluh menewaskan Kanada untuk mengesahkan kemaraan ke peringkat akhir Copa America 2024 di Stadium MetLife, East Rutherford, New Jersey.
Selepas berjaya mara ke separuh akhir buat kali pertama, Kanada berharap dapat mengejutkan La Albiceleste untuk tiket final. Sementara Argentina memburu tiket perlawanan akhir buat kali ke-30 dalam sejarah kejohanan.
Legenda Barcelona, Lionel Messi terus diberi kepercayaan oleh jurulatih, Lionel Scaloni untuk mengetuai pasukan. Sementara bek kiri Bayern Munich, Alphonso Davies pula mengetuai cabaran anak buah Jesse Marsch.
Separuh masa pertama menyaksikan Argentina mengancam kubu pertahanan Les Rouges menerusi gandingan Messi dan Julian Alvarez.
Penyerang Inter Miami itu hampir meletakkan La Albiceleste di hadapan pada minit ke-12 menerusi rembatan dari luar kotak penalti. Malangnya, rembatan beliau hanya mengenai bahagian tepi gawang.
Serangan yang direncana anak buah Scaloni berhasil pada minit ke-22. Selepas mengesan penjaga gol Portland Timbers, Maxime Crepeau berada di luar garisan gol, Alvarez melambungkan bola ke arah gawang Kanada.
Tersentak, Les Rouges cuba bangkit menerusi penyerang Lille, Jonathan David dan penyerang Real Mallorca, Cyle Larin tetapi usaha mereka tidak berhasil.
Keadaan ini memastikan La Albiceleste memiliki kelebihan satu gol sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Argentina terus menggandakan asakan untuk menambah kelebihan jaringan yang dimiliki mereka.
Kanada semakin tertekan apabila Messi apabila menambah jaringan La Albiceleste pada minit ke-51. Itu juga merupakan gol pertamanya dalam Copa America 2024.
Keadaan ini mendorong Marsch membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan dapat merapatkan jurang gol dengan Argentina.
Malangnya, usaha yang direncanakan anak buahnya tidak berhasil dan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Argentina semakin hampir mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi 2021.
Sofascore memilih pemain tengah Atletico Madrid, Rodrigo de Paul sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau mendapat markah 7.6, 0.1 mata di hadapan rakan senegara, Enzo Fernandez.
Kini, La Albiceleste bakal menunggu sama ada Colombia atau Uruguay sebagai lawan mereka di final pada pagi 15 Julai.