Semalam, kecoh para penyokong Terengganu FC (TFC) selepas sebuah halaman penggodam telah menguji tahap keselamatan laman sesawang kelab mereka. Disebabkan tahap keselamatannya yang lemah, data pengguna di situ mudah terdedah kepada ancaman penggodam.
Menurut halaman OMG Hackers, Terengganu membuat kesilapan besar dengan menyimpan data pengguna termasuk nama, alamat dan e-mel di laman sesawang itu, bukannya di pangkalan data yang dianggap lebih selamat.
Selepas memohon maaf atas apa yang berlaku, pengendali halaman itu turut menasihati kelab agar tidak terlampau mengikut kelab lain dalam soal penjualan cenderamata termasuk jersi. Ini termasuk membina laman sesawang sendiri untuk tujuan berkenaan.
Ini kerana bagi pengendali OMG Hackers, lebih baik TFC menjual cenderamata mereka di platform jualan dalam talian seperti Shopee dan Lazada. Ini kerana tahap keselamatan platform jualan di situ jauh lebih baik daripada apa yang didedahkan mereka semalam.
Pendedahan ini juga merupakan satu amaran kepada pasukan-pasukan Liga Super lain agar tidak memandang remeh isu keselamatan data penyokong mereka.
Ini kerana jika penggodaman data berlaku dengan data tersebut dibocorkan, maka kelab-kelab boleh saja dikenakan tindakan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Dengan kelab-kelab Liga Super bakal menerima dana penyiaran yang banyak musim ini, apa salahnya aspek keselamatan data pengguna diutamakan. Sebab yang paling beruntung ialah kelab kerana sentiasa menjaga pemain ke-12 mereka baik atas padang mahupun luar padang.