Pemilik majoriti Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar telah memberikan amanat khas buat penyokong Sang Kenari menjelang aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Penang FC, Jumaat ini.
Daud merasakan sudah lama tidak melihat Stadium Darul Aman dipenuhi penyokong dan berharap agar penyokong dapat memenuhinya pada perlawanan berdepan Penang.
“MISI KEHADIRAN 25,000 PENYOKONG DI STADIUM DARUL AMAN. Misi ini adalah satu impian. Sudah lama Stadium Darul Aman tidak merasai suasana riuh dan meriah ini. Inilah masanya.
“Kehadiran seramai 15,000 adalah indah dan mempersonakan. Amazing. Kehadiran seramai 20k adalah luar biasa dan kejutan minda. Extra ordinary.
“Kehadiran seramai 25k adalah DIRI ANDA sebenarnya. Really you. Kami menunggu kehadiran anda dengan penuh harapan dan sanjungan,” coret Daud Bakar seperti yang dikongsikan di Facebook KDA FC.
Kedah kini berada selangkah untuk mara ke separuh akhir Piala FA selepas berjaya menundukkan Penang 1-0 pada aksi suku akhir pertama di gelanggang lawan iaitu di Stadium Bandaraya.
Walaupun agregat tipis yang dibawa Kedah ke Darul Aman, kehadiran penyokong yang memenuhi segenap stadium sudah pasti ditagih barisan pemain untuk menambah semangat api perjuangan dalam mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.