Kedah Darul Aman berjaya meraih kemenangan ke atas Penang dalam aksi suku akhir pertama Piala FA 2024/2025 di Stadium Bandaraya Penang.
Akmal Rizal Rakhli mempertaruhkan barisan pemain seperti Sikh Izhan, Nik Akif Syahiran, Rafael Vitor, Adib Raop dan Syamer Kutty Abba bagi menghadapi cabaran Sang Kenari.
Kedah Darul Aman yang dibimbing oleh Nafuzi Zain pula dibarisi pemain seperti Rizal Ghazali, Irfan Zakaria, Habib Haroon, Assifuah serta Syafiq Ahmad.
Aksi separuh masa pertama dihiasi beberapa aksi tegang apabila beberapa pemain dilayangkan kad kuning sebelum kedua-dua pasukan sempat mencetak sebarang gol.
Syafiq Ahmad dilayangkan kad kuning seawal minit ke-8 dan dua minit kemudian giliran pemain Penang, Fairuz Zakaria dilayangkan kad kuning.
Dua lagi pemain Kedah, Habib Haroon dan Irfan Zakaria serta seorang pemain Penang Khairu Azrin turut menerima kad kuning.
Separuh masa pertama tamat dengan kedua-dua pasukan kekal terikat 0-0 tanpa sebarang jaringan.
Pemain gantian Kedah, Hasbullah akhirnya menamatkan penantian gol pertama perlawanan apabila menjaringkan gol pada minit ke-73 perlawanan.
Malang berganda buat Penang apabila Fairuz Zakaria sekali lagi menerima kad kuning sekaligus dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan.
Perlawanan tamat menyaksikan Kedah Darul Aman menumpaskan Penang dengan jaringan 1-0 bagi aksi suku akhir pertama Piala FA.
Perlawanan kedua suku akhir akan berlangsung pada 5 Julai kelak di Stadium Darul Aman dengan kelebihan satu gol dimiliki oleh Kedah.