Pemilik majoriti Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar menafikan ura-ura bahawa Kedah akan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim ini.
Umum mengetahui bahawa Kedah kini mengalami krisis kewangan yang meruncing namun perjuangan akan diteruskan untuk menamatkan musim ini biarpun serba kekurangan.
Dalam masa yang sama, Tan Sri Daud mendedahkan beliau sudah dinasihatkan untuk membubarkan pasukan Kedah sejak Januari 2024 lagi.
“Terdapat desakan daripada sesetengah pihak yang mencadangkan agar KDA FC dibubarkan disebabkan masalah kewangan yang masih belum dapat diselesaikan. Bahasa mudah, gulung syarikat dan tamatkan kontrak dengan lebih dari 100 pemain dan pegawai.
“Namun, hanya segelintir yang lantang menegaskan bahawa KDA FC harus meneruskan perjuangan sehingga tamat musim 2024-2025 walaupun keadaan amat mencabar.
“Sebenarnya, saya telahpun diminta dan dinasihatkan supaya membubarkan KDA FC sejak bulan Januari 2024. Namun, saya memilih untuk ‘cuba’ meneruskan perjuangan KDA FC kerana ia adalah legasi semua sebagai rakyat Kedah Darul Aman. Mana mungkin saya menyerah kalah sebelum saya berusaha terlebih dahulu dan alhamdulillah saya berjaya menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji musim 2023 pada awal April 2024 dan kelab dibenarkan bertanding bagi musim baharu 2024/2025.
“Sebagai kesimpulan, kami ingin menekankan bahawa pihak KDA FC akan meneruskan penyertaan kami dalam musim ini dengan izin Allah. Usaha akan diteruskan,” jelas Tan Sri Daud dalam satu pengumuman rasmi di laman Facebook KDA FC.
Dengan keadaan kewangan yang kurang baik, Kedah juga kini kehilangan beberapa pemain utama seperti Sony Norde, Cleylton Santos dan Sukhrob Nurullaev yang bertindak meninggalkan pasukan atas persetujuan bersama.