Bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sony Norde telah meninggalkan bumi Malaysia dan mengembangkan karier bola sepaknya ke Indonesia dengan menyertai Malut United FC.
Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh pihak Malut United melalui satu pengumuman rasmi di laman sosial Instagram kelab.
Selain Sony Norde, Malut United juga membawa masuk seorang lagi pemain import iaitu Jonathan Bustos yang merupakan pemain kelahiran Argentina.
“Ini keluarga baru anda. Jonathan Bustos dan Sony Norde,” umum Malut United ringkas di laman Instagram.
Sony Norde sebelum ini merupakan tonggak utama dan juga kapten buat pasukan Kedah yang kini dilanda masalah gaji yang berlarutan.
Biarpun sudah berusia 35 tahun, kelincahan Sony di atas padang masih menjadi kunci utama untuk menembusi pertahanan dan gawang lawan.
Selain Sony, dua lagi pemain import Kedah iaitu Cleylton Santos dan Sukhrob Nurulloev turut mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan.