Penampilan pertama Fergus Tierney bersama Nakhon Pathom United membantu pasukan itu meraih kemenangan 3-0 ke atas Nakhon Ratchasima.
Pasukan yang diberi jolokan The King Tigers itu mahu meneruskan momentum kemenangan selepas menewaskan Chiangrai United pada 7 Disember lalu.
Anak buah Thongchai Sukkoki membuka tirai jaringan menerusi Pheemphapob Viriyachanchai pada minit ke-28.
Nakhon Pathom makin selesa mendahului 2-0 sehingga rehat menerusi penyerang import mereka dari Brazil, Valdo pada minit ke-42.
Selepas rehat, Nakhon Ratchasima membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan dapat menyekat pelawat memburu gol tambahan.
Malangnya, Nopphakao Prachobklang memastikan kemenangan milik The King Tigers menerusi gol pada minit ke-59.
Nakhon Ratchasima kemudiannya ditimpa malang apabila Nattapong Sayriya mengutip kad kuning kedua lima minit selepas itu.
Kelebihan tiga gol dan 11 pemain yang dimiliki Nakhon Pathom mendorong Thongchai membuat beberapa pertukaran pemain. Ini termasuk memberi penampilan pertama kepada Tierney pada minit ke-66.
Penyerang muda Malaysia itu beraksi selama 24 minit pada separuh masa kedua. Persembahan Tierney dalam perlawanan itu turut mendapat markah 6.8 oleh Sofascore.
Beliau antara enam pemain baru yang direkrut The King Tigers dalam tetingkap kedua perpindahan Thai League 1. Tierney tiba secara pinjaman dari kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Beliau dijangka disertai rakan senegara, Muhammad Abu Khalil. Ini selepas Muhammad dilaporkan mencapai persetujuan untuk menyertai Nakhon Pathom secara pinjaman sehingga akhir musim 2024/25.