Definisi Padang Sebenar Ada Di JDT
Blog
Syafiq Freman / MakanBola
Advertisements

Selepas melihat apa yang berlaku dengan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ketika perlawanan Malaysia menentang Bahrain tempoh hari, sudah tentu ianya membuka mata ramai pihak mengenai betapa pentingnya permukaan padang kepada sukan bola sepak.

Ianya tidak tertakluk kepada apa yang dilihat di atas permukaan padang sahaja tetapi ianya juga melibatkan kejadian yang berlaku di bawah permukaan padang yang dinamakan sebagai sistem perparitan. Sistem perparitan yang baik akan berfungsi secara efisien untuk mengeluarkan air yang bertakung di atas padang dengan kadar yang cepat.

Mungkin padang di Stadium Sultan Ibrahim yang digunakan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) boleh dijadikan contoh terbaik. Padang yang menggunakan jenis rumput Zoysia Zeon ini dilihat sangat sempurna buat JDT. Mengapa?

Advertisements

Rumput Zoysia Zeon

Rumput jenis Zoysia Zeon sudah terbukti keberkesanannya apabila beberapa stadium besar di Asia Tenggara sudah menggunakannya seperti di Stadium Nasional Singapura dan Stadium Utama Gelora Bung Karno, Indonesia.

Padang di Stadium Sultan Ibrahim dikhabarkan mempunyai sembilan lapisan dibawahnya yang mana setiap lapisan itu mempunyai fungsinya yang tersendiri sekaligus membawa kepada sistem perparitan sempurna. Tidak kira selama mana pun hujan yang akan turun, aliran air akan pantas diserap dan disalirkan ke longkang yang ada di sekeliling padang.

Advertisements

Jadi untuk melihat padang di Stadium Sultan Ibrahim menjadi becak teruk seperti apa yang berlaku di SNBJ tempoh hari hampir pasti tidak akan berlaku, kecuali jika lapisan-lapisan tersebut mengalami kerosakan.

Tajaan TMJ kepada SNBJ

Pemilik JDT, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim atau TMJ sebelum ini berkenan dan bermurah hati untuk menaja penukaran rumput jenis Zoysia Zeon sebagai hadiah kepada SNBJ. Namun begitu kerja-kerja menukar rumput tersebut hanya dimulakan pada Januari 2023 berikutan stadium telah ditempah sepenuhnya dengan pelbagai acara sepanjang tahun 2022.

Advertisements

Ini bermakna pada tahun 2023, pasukan Harimau Malaya akan beraksi di atas padang yang jauh lebih baik dari apa yang mereka gunakan sekarang. Proses naiktaraf padang ini mengambil masa empat bulan untuk siap dan mengikut perkiraan sekitar bulan April atau Mei tahun hadapan, padang baharu SNBJ sudah siap untuk digunakan.

Pasukan lain perlu buka mata

Walaupun sudah berulang kali TMJ menegaskan padang merupakan elemen penting dalam bola sepak, namun tidak banyak pihak yang cakna akan isu ini. Kebanyakan pasukan lebih cenderung untuk menggunakan sumber kewangan ke arah yang lain seperti menukar pemain import setiap tahun.

Advertisements

TMJ sebelum ini mendedahkan bahawa kos menukar padang dianggarkan hanya RM 1.5 juta dan kos penyelenggaraan tidak melebihi RM 300,000 setahun. Kos tersebut dikatakan mampu ditampung oleh kebanyakan pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super.

Tidak mustahil, jika semua pihak pengurusan kelab bersatu hati untuk sama-sama menukar padang stadium yang digunakan oleh pasukan mereka, sudah pasti taraf sukan bola sepak Malaysia akan bertambah baik satu hari nanti.

Penutup

Kejadian padang becak SNBJ yang berlaku tempoh hari bukan sahaja menganggu tempo permainan Malaysia dan Bahrain malah ianya juga merupakan insiden yang memalukan negara sebagai tuan rumah kempen Kelayakan Piala Asia 2023.

Diharapkan padang di SNBJ berada dalam keadaan yang baik untuk aksi terakhir Malaysia yang akan bertemu Bangladesh dalam usaha untuk layak ke Piala Asia 2023. Ini padang kita, ini rumah kita. Lupakan duka yang lalu, jalani hari baru bersama azam yang menggunung.

Selamanya Harimau Malaya.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram