Persiapan BG Pathum United bagi mendepani aksi ACL menentang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) terjejas susulan ramai pemain pasukan itu dijangkiti demam denggi.
Hal ini didedahkan oleh jurulatih The Rabbits, Thongchai Sukkoki dalam sidang media pasca-perlawanan menentang Bangkok United semalam.
Disebabkan ramai pemain dijangkiti penyakit tersebut, ini mengakibatkan ramai pemain kurang cergas menjelang aksi menentang Bangkok Angels.
Ini juga menjelaskan mengapa The Rabbits tewas 2-0 kepada Bangkok United menerusi dua jaringan Willen Mota pada minit ke-69 dan 92.
“Kita sudah serahkan senarai 20 pemain tapi kita tidak turunkan dua, tiga pemain dan kita hanya ada beberapa pemain yang masih cergas.
“Semua orang masih lagi melalui proses pemulihan. Kita ada dua perlawanan yang perlu dihadapi iaitu Lamphun Warriors dan JDT. Kita akan fokus pada dua perlawanan home dulu memandangkan kita perlu bawa semua pemain,” katanya seperti dipetik SiamSport.
BG Pathum pasti mengharapkan situasi ini segera reda bagi membolehkan mereka kembali mencabar dalam saingan Thai League 1 dan ACL.
Ketika ini, mereka menduduki tangga kelima liga dengan lapan mata. Sementara dalam Kumpulan I ACL pula, The Rabbits menduduki tangga tercorot kumpulan.
Dua wakil Asia Tenggara ini bakal bersemuka dalam aksi kedua ACL di Stadium BG, Pathum Thani, Thailand pada 3 Oktober ini.