Selepas karier yang tidak menjadi di Chelsea, Alejandro Garnacho mencuba nasib dengan Aston Villa. Aston Villa berjaya mendapatkan khidmat pemain sayap Argentina, Alejandro Garnacho, daripada Chelsea secara pinjaman selepas kedua-dua kelab mencapai persetujuan mengenai perpindahan pemain tersebut.
Menurut Fabrizio Romano menerusi ciapan di X, perpindahan Garnacho ke Aston Villa turut disahkan menerusi deklarasi “Here We Go” oleh Fabrizio Romano dengan persetujuan antara kedua-dua kelab dimuktamadkan.
Perjanjian itu membabitkan perpindahan secara pinjaman sahaja, namun disertakan klausa pembelian yang akan menjadi wajib sekiranya syarat tertentu dipenuhi.
Klausa tersebut dilaporkan mudah dicapai dan hampir pasti diaktifkan, sekali gus menyaksikan Chelsea menjangkakan perpindahan kekal akan dimuktamadkan pada 2027.
Garnacho turut dilaporkan menandatangani kontrak selama empat tahun menjelang perpindahan tersebut, manakala pemeriksaan perubatannya bersama Aston Villa kini sedang dijalankan.
Pengurus Aston Villa, Unai Emery, dikatakan memainkan peranan penting dalam usaha membawa Garnacho ke Villa Park selepas menjadikan pemain berusia 22 tahun itu sebagai sasaran utama untuk memperkuatkan jentera serangan.
Sebelum ini, Garnacho turut dikaitkan dengan perpindahan ke AS Roma yang berminat mendapatkannya, namun rundingan itu tidak menjadi kenyataan sebelum Aston Villa berjaya memintas dan mencapai persetujuan bersama Chelsea.
Chelsea sebelum ini dilaporkan bersedia melepaskan Garnacho sekiranya menerima tawaran yang memenuhi kehendak kelab selepas pemain itu gagal memberikan impak yang diharapkan sepanjang musim pertamanya di Stamford Bridge.
Sebelum menyertai Chelsea, Garnacho mencipta nama bersama Manchester United selepas menyertai akademi kelab itu pada 2020 sebelum membuat penampilan sulung bersama skuad utama pada 2022, selain membantu The Red Devils memenangi Piala Piala Carabao 2023 dan Piala FA 2024.
Kini, perpindahan ke Aston Villa dilihat sebagai peluang terbaik buat Garnacho menghidupkan semula kariernya di bawah bimbingan Emery, selain membuktikan beliau masih mampu mencapai potensi besar yang pernah dipamerkan ketika bersama Manchester United.