Pengendali Persib Bandung, Bojan Hodak menjawab khabar angin perpindahan beliau ke Selangor.
Selangor kini sedang giat mencari ketua jurulatih baharu bagi mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan oleh Nidzam Jamil setelah mengumumkan peletakkan jawatan pada Rabu lalu.
Untuk sementara waktu ini, jawatan selaku pengendali skuad The Red Giants kini disandang oleh bekas pembantu Nidzam Jamil iaitu Abdi Hassan sambil dibantu oleh Shahrom Kalam.
Terbaharu, timbul laporan media yang membincangkan Bojan Hodak antara nama yang dicanang untuk membawa pasukan Selangor meneruskan baki saingan musim 2024/2025 ini.
Nama Bojan Hodak bukanlah asing bagi peminat bola sepak tempatan memandangkan jurulatih kelahiran Croatia ini pernah melatih Kelantan, Johor Darul Ta’zim dan KL City.
Selain itu, Bojan juga pernah membimbing pasukan bawah 19 tahun kebangsaan bermula pada tahun 2017 sehingga 2019 dan meraih gelaran juara di peringkat rantau Asia Tenggara.
Menurut Bojan, khabar angin seperti ini sering kali tersebar apabila pasukan Selangor sedang mencari khidmat jurulatih baharu dan nama beliau antara yang kerap kali dikaitkan.
“Saya tahu kerana setiap kali mereka (Selangor FC) bertukar jurulatih, selalu ada khabar angin mengatakan saya akan ke sana,” ujar Bojan menurut laporan MakanBola Indonesia.
Walau bagaimanapun, Bojan berkata ketika ini beliau masih terikat kontrak bersama Persib Bandung di Indonesia dan enggan mengulas lebih lanjut mengenai gosip perpindahan ini.
”Akan tetapi saya masih mempunyai kontrak di sini (Persib Bandung), itu sahaja,” katanya yang pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Penang FA pada tahun 2016.
Bojan menyertai Persib Bandung pada Julai 2023 dan tampil cemerlang membantu pasukan muncul juara Liga 1 Indonesia musim lalu untuk layak beraksi di AFC Champions League 2.
Setelah 10 perlawanan liga, Persib Bandung berada di tangga ke-3 dengan 20 mata hasil 5 kemenangan dan 5 keputusan seri serta masih belum merekodkan sebarang kekalahan.