Dion Cools Belum Lapor Diri
MakanBola
FA Malaysia

Bek tengah Harimau Malaya, Dion Cools belum melapor diri untuk menyertai kem pasukan itu menjelang kempen Pestabola Merdeka 2024.

Ini selepas jurulatih skuad negara, Pau Marti Vicente memaklumkan bek tengah berusia 28 tahun itu masih memiliki komitmen perlawanan bersama kelabnya, Buriram United.

Ad

Tidak seperti Liga Super yang berehat pada 18 Ogos lalu, Thai League 1 masih memiliki baki satu perlawanan untuk dilunaskan sebelum berehat pada 2 September ini.

Ad

Minggu aksi kelima liga menyaksikan lapan perlawanan bakal berlangsung pada 31 Ogos dan 1 September ini. Buriram bakal turun untuk aksi menentang Nakhon Pathom pada 1 September.

Pau Marti memaklumkan selepas komitmen perlawanan bersama Thunder Castle berakhir, Cools akan menyertai kem Harimau Malaya pada 2 September.

Ad

“Saya rasa semua (pemain) sudah ada di sini kecuali Dion Cools. Beliau masih bermain perlawanan di Thailand. Beliau akan melapor diri ke skuad kebangsaan pada Isnin. Beliau masih ada komitmen perlawanan sehingga Ahad,” katanya kepada media di Kelana Jaya pada 29 Ogos lalu.

Ad

Cools telah merekodkan 65 penampilan bersama Buriram sejak menyertai kelab itu pada Januari 2023. Beliau kekal bersama pasukan itu selepas kontraknya dilanjutkan selama setahun lagi.

Ad

Malaysia bakal membuka kempen Pestabola Merdeka 2024 dengan menentang Filipina pada 4 September ini. Sementara juara bertahan Tajikistan pula akan menentang Lubnan dalam satu lagi aksi kejohanan.