Pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools sah kekal bersama juara Thai League 1 musim 2023/24, Buriram United.
Sebelum ini, ramai tertanya-tanya tentang status bekas pemain pertahanan FC Brugge itu bersama Thunder Castle. Ini selepas semakan yang dibuat kepada tempoh kontrak Cools mendapati ia berakhir pada 30 Jun lalu.
Ini membawa kepada spekulasi pemain berdarah Sarawak-Belgium itu dikaitkan dengan perpindahan kembali ke benua Eropah.
Cools kemudiannya dilihat melapor diri untuk program pra-musim Buriram United pada awal Julai lalu. Beliau menyertai pra-musim bersama beberapa pemain baru kelab itu.
Antara pemain yang sah menyertai Thunder Castle untuk kempen musim 2024/25 ialah Neil Etheridge, Curtis Good, Marcelo Djalo, Charalampos Charalampous, Matheus Vargas dan Chrighor.
Dan berdasarkan semakan terkini status Cools di Transfermarkt, pemain pertahanan berusia 28 tahun itu kekal bersama Buriram sehingga 30 Jun 2025.
Bekas pemain pertahanan FC Midtjylland itu turut mendapat kepercayaan jurulatih Brazil, Osmar Loss Vieira untuk dua aksi persahabatan pra-musim Buriram. Cools diturunkan untuk aksi menentang Nakhon Si United pada 13 Julai dan Phnom Penh Crown pada 16 Julai lalu.
Buriram membuka kempen pra-musim dengan meraih kemenangan 4-3 ke atas Nakhon Si United. Ini disusuli kemenangan besar 5-1 ke atas Phnom Penh Crown.
Bek tengah Harimau Malaya itu dijangka bersaing dengan Good, Djalo, Kim Min-hyeok, Jefferson Tabinas dan Pansa Hemviboon untuk slot bek tengah.