Dion Cools Berpeluang Besar Lakar Hatrik Kejuaraan Thai League 1
MakanBola
Buriram United

Pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools berpeluang mencipta rekod baru apabila Buriram United menentang Nongbua Pitchaya untuk aksi terakhir Thai League 1.

Aksi pada 30 April ini menyaksikan Buriram perlu meraih kemenangan ke atas Nongbua jika ingin menamatkan musim 2024/25 sebagai juara liga.

Jika ini menjadi realiti, Thunder Castle akan menjadi kelab Thailand pertama yang meraih kejuaraan liga sebanyak empat kali berturut-turut.

Selain itu, Cools berpeluang mencipta hatrik kejuaraan Thai League 1 sejak menyertai Buriram pada Januari 2023.

Ini bakal menjadikan bekas tonggak FC Midtjylland itu sebagai pemain Malaysia paling berjaya yang beraksi di bumi Thailand.

Sepanjang bersama Buriram, Cools bukan saja membantu kelab itu muncul juara Thai League 1 untuk musim 2022/23 dan 2023/24. Beliau turut membantu Thunder Castle muncul juara Thai League Cup dan Thai FA Cup edisi 2022/23.

Cools bukan saja berpotensi meraih enam trofi di bumi Thailand. Malah, pencapaian ini dijangka membakar semangat beliau untuk membantu Harimau Malaya menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2027.

Cools dan Buriram juga berpotensi menambah satu lagi trofi iaitu Shopee Cup. Buriram memiliki kelebihan agregat 3-1 ke atas kelab senegara, BG Pathum United selepas menang dalam aksi separuh akhir pertama pada 2 April.

Buriram bakal berdepan The Rabbits untuk aksi timbal balik pada 7 Mei ini untuk penentuan slot final Shopee Cup.