Dion Cools & Cerezo Osaka Gigih Asah Taji
MakanBola
Cerezo Osaka

Kapten Harimau Malaya, Dion Cools memaklumkan kelabnya, Cerezo Osaka gigih memperbaiki kelemahan pasukan itu terutama di bahagian serangan.

Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya persiapan pasukan itu menjelang aksi liga berikutnya menentang Avispa Fukuoka pada 15 Februari ini.

Cools melihat aspek itu sebagai kunci jika mereka mahu meraih kemenangan pertama dalam J-League 1 musim ini.

“Kita akan teruskan apa yang kita telah lakukan dari segi pertahanan. Tetapi pada minggu ini, kita ambil masa untuk praktikkan bentuk (pasukan) bila kita ada bola dan menyerang,” katanya kepada laman sesawang rasmi Cerezo.

Cools dan Cerezo berharap dapat bangkit selepas tewas dalam aksi pertama liga pada minggu lalu.

Selepas terikat tanpa jaringan pada masa penuh, Cerezo tewas 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti.

Meskipun beraksi menentang Avispa di tempat lawan, ini juga peluang buat anak buah Arthur Papas membuka akaun gol musim ini.