Kapten Harimau Malaya, Dion Cools dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore untuk aksi J-League 1 antara Avispa Fukuoka dan Cerezo Osaka.
Cools dipilih Sofascore kerana mendapat markah 7.9 dalam aksi itu. Ini selepas kecemerlangannya di bahagian pertahanan membantu Cerezo menewaskan Avispa 2-0.
Selepas hanya meraih satu mata dalam aksi pertama J-League 1 Kumpulan B menentang Gamba Osaka, Cerezo bertekad untuk bangkit semula.
Hasilnya, anak buah Arthur Papas meraih tiga mata penuh menerusi gol Solomon Sakuragawa dan Thiago Andrade.
Andrade terlepas peluang dipilih pemain terbaik perlawanan kerana hanya mendapat 7.8 mata. Rikito Inoue di tangga ketiga dengan 7.4 mata.

Cools menjadi pilihan kerana beberapa kali berjaya mematahkan percubaan Avispa. Statistik Sofascore menunjukkan beliau memenangi empat terjahan daripada lapan percubaan.
Bekas pemain Buriram United juga berjaya mengeluarkan bola dari kawasan Cerezo sebanyak enam kali. Cools juga memenangi perebutan bola di udara sebanyak 10 kali daripada 12 percubaan.
Prestasi mantap beliau dijangka membakar semangatnya dan Cerezo menjelang aksi liga berikutnya menentang Sanfrecce Hiroshima pada 22 Mac ini.