Pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools hampir bergaduh dengan pemain BG Pathum United dalam aksi terbaru Thai League 1 pada 12 April lalu.
Cools yang beraksi untuk Buriram United berharap dapat meraih kemenangan ke atas The Rabbits. Ini kerana itu akan membantu mereka meraih gelaran juara liga musim 2024/25.
BG Pathum mendahlui seawal minit ke-10 menerusi Sanchai Nontasila. Suphanat Mueanta menyamakan kedudukan buat tuan rumah tiga minit sebelum rehat.
Kritsada Kaman memastikan The Rabbits meraih kemenangan menerusi gol pada minit ke-79. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Selepas perlawanan berakhir, Cools dilihat bertegang urat dengan bek tengah BG Pathum, Christian Gomis.
Pertelagahan itu timbul disebabkan bekas bek tengah Paris Saint-Germain (PSG) itu berang dengan terjahan yang dilakukan pemain pertahanan Malaysia itu.
Pemain pertahanan Filipina, Jefferson Tabinas berusaha meleraikan pertelagahan Cools dan Gomis. Akhirnya, kedua-dua pemain ditenangkan dengan bantuan pemain dan staf pasukan masing-masing.
Pertembungan Cools dan Gomis dijangka menghangatkan lagi persaingan Buriram dan BG Pathum. Ini kerana kedua-dua pasukan bakal bertemu dalam aksi separuh akhir kedua Shopee Cup.
Thunder Castle membawa bekalan tiga gol selepas menewaskan The Rabbits 3-1 dalam aksi separuh akhir pertama pada 2 April. Aksi timbal balik Shopee Cup bakal berlangsung pada 7 Mei ini.