Orang besi Harimau Malaya, Dion Cools akhirnya meraih penampilan pertama bersama Cerezo Osaka.
Selepas menyertai kelab J1 League itu pada Jun lalu, ramai peminat bola sepak Malaysia ingin tahu bila bek kanan berusia 29 tahun itu akan membuat penampilan pertama bersama Cerezo.
Persoalan itu akhirnya terjawab apabila Cools muncul sebagai pemain gantian dalam aksi terbaru liga antara Cerezo Osaka dan Gamba Osaka.
Bekas pemain pertahanan Buriram United itu masuk pada minit ke-73 menggantikan bek kanan, Hayato Okuda.
Kemasukan Cools ditagih jurulatih Australia, Arthur Papas untuk membantu Cerezo memburu gol penyamaan dalam perlawanan tersebut.
Cerezo ketika ini ketinggalan 1-0 dalam aksi di Stadium Yodoko Sakura. Gamba mendahului menerusi bek kanan, Riku Handa pada minit ke-70.
Sekiranya kedudukan ini kekal sehingga ke wisel penamat, Gamba berpeluang merapatkan jurang dengan Cerezo dalam liga kepada dua mata.
Cerezo di tangga kesembilan dengan 33 mata dengan Gamba di tangga ke-11 dengan 31 mata.