Dion Cools Sertai Cerezo Osaka
MakanBola
Buriram United

Pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools sah akan menyertai Cerezo Osaka.

Sebelum ini, beberapa laporan media Thailand menyatakan Cools bakal berkelana ke Jepun meskipun memiliki baki kontrak selama setahun.

Kini, perpindahan tersebut disahkan menerusi dua sumber. Pertama, kenyataan ringkas Presiden Buriram United, Newin Chidchob.

Newin memohon kepada penyokong agar bersikap terbuka dan merelakan pemergian pemain pertahanan Harimau Malaya itu ke Jepun.

“Bukakan hati anda untuk merelakan pemergian Dion Cools ke saingan liga Jepun,” katanya seperti yang dilaporkan Think Curve.

Kedua, laporan Nikkan Sports menyatakan Cerezo Osaka semakin hampir memuktamadkan perjanjian untuk mendapatkan bekas pemain pertahanan FC Midtjylland itu.

Perjanjian untuk mendapatkan khidmat Cools kini berada di peringkat akhir dan bakal diumumkan tidak lama lagi.

Sekiranya perjanjian ini berjalan lancar, beliau akan kembali bekerjasama dengan jurulatih lamanya di Buriram, Arthur Papas.

Cools membantu Buriram meraih trofi ketiga mereka untuk musim 2024/25 dengan menjulang trofi Thai FA Cup. Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan Muangthong United.