Dollah Salleh Sifatkan Dakwaan Thomas Dooley Terlalu Berat dan Berniat Jahat
Dunia
Sri Pahang FC Official
Advertisements

Pengendali Sri Pahang FC, Dato’ Dollah Salleh nyata berang dengan beberapa kenyataan dan dakwaan dibuat oleh bekas jurulatih pasukan itu, Thomas Dooley yang disifatkannya sebagai mengarut dan sengaja direka.

MakanBola pada Jumaat menyiarkan perkongsian pengalaman Thomas Dooley sepanjang tempoh singkat dia mengendalikan skuad tok gajah, di mana dia mendedahkan ‘cerita dalam kain’ serta kesukaran dihadapinya untuk bekerja bersama Dollah Salleh.

Ketika dihubungi untuk mendapatkan komen beliau, Dollah Salleh mengakui terkejut dengan apa yang dikongsikan oleh Dooley di facebooknya itu sambil menyatakan ia tindakan berniat jahat bagi melepaskan tengkuk sendiri.

Advertisements

“Apa yang dia sakit hati sangat dengan saya, apa yang dia tidak puas hati? Pergi jahanam lah sama dia, dah buat salah selepas itu salahkan orang bila kena pecat. Pandailah dia pusing cerita bagi penyokong semua nampak saya salah, saya lah yang jahat, semua akan cakap oh Dollah Salleh lah puncanya.

“Awak tahu kan kenapa dia kena pecat, sebab dia kritik fasiliti latihan, dia banding dengan kelab bawahan Jerman. Masalahnya kalau dia cakap benda tu dekat pengurusan sahaja tak apa, tapi dia pergi cakap benda ni secara terbuka kepada media, benda jadi viral, dia malukan majikan sendiri, mana Tengku Muda tak mengamuk.

“Jadi saya nak tanya, adakah saya yang suruh dia cerita semua tu dekat media, saya tak tahu apa-apa. Tahu-tahu dia buat hal. Tengku Muda tak salah, kelab pun tak salah, dia kena salahkan diri sendiri sebab buat tahi di tempat cari makan. Sebab itu orang Filipina kata dia ni ibarat ular,” kata Dollah Salleh kepada MakanBola.

Advertisements

Mengenai dakwaan kononnya beliau mempunyai kuasa istimewa di dalam kelab disebabkan hubungan baik dengan Tengku Muda, Dollah Salleh berkata ia adalah satu lagi cerita berniat jahat yang direka bagi merosakkan reputasinya.

“Kuasa apa yang saya ada, apa benda yang mat salleh ni mengarut, dia sedaya upaya cuba menampakkan diri dia suci dan sempurna, tidak ada salah. Yang salah semua Dollah Salleh, kalau dia ada depan saya, memang dia makan penumbuk.

“Saya tidak kisah jika penyokong ada tanggapan buruk terhadap saya, itu asam garam dalam bolasepak, sekejap dijulang, sekejap dikeji. Tetapi apabila tanggapan buruk itu berpunca daripada cerita yang tidak betul, kerana fitnah, memang saya angin. Saya tidak pernah kacau dia, tapi semua yang dia cakap adalah rekaan semata-mata.

Advertisements

“Dia kata saya petik nama Tengku Muda kalau apa-apa, suruh dia datang jumpa, datang cakap depan saya bila masa benda ni berlaku. Saya dilantik untuk menjadi pengurus pasukan atas permintaan Tengku Muda, itu sahaja.

“Hubungan saya dan beliau hubungan pekerja dan majikan, saya menghormati permintaan beliau. Dia kata saya seorang ada akses untuk berhubung dengan Tengku Muda, bayangkan nak bercakap dengan Tengku Muda secara bersemuka pun saya gugup dan tidak berani, inikan pula nak petik nama beliau.

“Sebagai pengurus, saya membantu dia apa yang perlu berkaitan pasukan, selebihnya saya tak ambil tahu. Kalau pemain tak hormat dia masa latihan, tak nak ikut cara ataupun pendekatan dia, itu salah dia atau salah saya? Dia ketua jurulatih atau saya? Jika dia tidak dapat mengawal pemain, jika dia gagal untuk dapatkan kerjasama pemain, kenapa nama saya yang dia burukkan, apa saya buat?

Advertisements

“Saya tidak tahu apa dia merepek tentang pemilihan pemain dan saya tak tolong dia dapatkan pemain. Saya tak pernah masuk campur kerja dia. Dia tuduh saya tak bagi Kutak (Baqiuddin) main untuk perlawanan pertama konon atas arahan Tengku Muda, jujur saya cakap, demi Allah, saya langsung tidak tahu menahu apa yang dia cakap. Eh Kutak tu pemain favourite saya lah, dah kenapa saya nak arahkan Kutak tak main?

“Sebenarnya banyak keputusan yang dia buat sendiri, tak bincang dengan jurulatih. Sebab tu saya cakap, saya tak pernah jumpa orang macam dia, baling batu sembunyi tangan, dia ni bapak segala ular,” ujarnya.

Tambah Dollah Salleh lagi, selepas Dooley dipecat, lembaga pengarah sendiri telah memintanya untuk mengambil alih tugas ketua jurulatih, atas permintaan oleh Tengku Muda.

“Selepas latihan atau perlawanan, saya buat hal saya, takde masa nak mengumpat atau menghasut tentang sesiapa kepada sesiapa. Bukan cara saya untuk menyekat rezeki sesiapa, kalau saya tidak suka sesiapa sekalipun, saya tidak akan bercakap buruk tentang orang tersebut.

“Ketika saya dapat panggilan untuk gantikan dia, saya sedang bermain golf. Saya dihubungi Datuk Suffian mengatakan saya kena ambil alih pasukan, saya cakap nantilah kita bincang sebab saya memang taktahu pun dia telah dipecat, tak pernah terfikirpun tentang perkara itu tetapi saya disuruh datang segera dan tugas dia diserahkan kepada saya.

“Seperti saya cakap, sebagai menghormati permintaan Tengku Muda saya menerima tanggungjawab yang dia tinggalkan tanpa banyak tanya. Bukan saya yang melobi nak jawatan, saya pun sedar untuk perbaiki semula prestasi dan moral pasukan yang sudah huru hara bukan mudah, lagi teruk saya kena kecam,” tegasnya lagi.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram