Pertahanan Malaysia, Dominic Tan tidak mahu memandang mudah setiap aksi Harimau Malaya menjelang perlawanan kedua Piala Mitsubishi Electric Asean berdepan Timor Leste.
Skuad kebangsaan bimbingan Pau Marti Vicente kembali ke tanah air untuk aksi kedua setelah terpaksa akur terikat seri 2-2 pada perlawanan pembukaan di Phnom Penh Ahad lalu.
Manakala, Timor Leste pula hadir ke Bukit Jalil dengan misi untuk bangkit dari kekalahan besar 0-10 di tangan Thailand yang turun dengan status juara bertahan pada kejohanan kali ini.
Menurut Dominic, peluang untuk beraksi bersama Harimau Malaya bagai satu penghormatan dan setiap aksi berdepan Timor Leste bukanlah tiket untuk memandang mudah.
”Secara peribadi, ini adalah satu penghormatan besar buat saya bermain mewakili negara ini (Malaysia),” jelas Dominic ketika sidang media pada Selasa.
“Kami memandang serius setiap perlawanan yang dihadapi dan bakal berikan persembahan terbaik buat Malaysia,” ujar Dominic
Tambah beliau, usaha keras dari rakan sepasukan adalah penting untuk memperoleh keputusan yang baik terutama apabila beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri di Bukit Jalil nanti.
”Keputusan dari perlawanan (bertemu Timor Leste) ini amat penting buat kami untuk berusaha keras di laman sendiri dan dapatkan tiga mata
Kedudukan terkini kumpulan A menyaksikan skuad negara berada di tangga ke-3 dengan satu mata, berkongsi mata dengan Kemboja manakala Timor Leste di tempat tercorot.
Aksi Malaysia vs Timor Leste bakal diadakan pada Rabu, 11 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan sepak mula pada jam 9 malam waktu tempatan.