Persediaan Korea Selatan menghadapi tuan rumah Piala Dunia, Mexico dalam Kumpulan A diganggu dengan kehadiran dron.
The Korea Times melaporkan dron tersebut dikesan dalam sesi latihan tertutup pasukan itu baru-baru ini. Perkara ini turut disahkan jurulatih Pahlawan Taeguk, Hong Myung-bo dalam sidang media praperlawanan.
“Ia tidak memberi kesan besar kepada kita tatkala kita membuat persiapan (sebelum) perlawanan. Itulah masa yang paling penting jadi apa yang berlaku ialah satu perkara yang malang,” katanya.
Dron tersebut dikesan pegawai keselamatan pasukan Korea Selatan ketika barisan pemain sibuk menjalani sesi memanaskan badan.
Susulan itu, insiden tersebut dilaporkan kepada pihak tentera yang bertugas di Chivas Verde Valle. Dron tersebut kemudiannya dipintas dan dijatuhkan.
Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) melaporkan dua individu dipercayai pengendali dron melarikan diri bersama dron mereka sebelum sempat dicekup pihak berkuasa. Selain pihak berkuasa, KFA turut melaporkan insiden itu kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Insiden ini berlaku tatkala Mexico dan Korea Selatan akan bertemu pada 19 Jun. Ini kerana pertembungan ini akan menentukan pasukan mana layak ke pusingan 32 pasukan terbaik lebih awal.
Ini bukan kali pertama insiden dron menceroboh sesi latihan pasukan Piala Dunia dilaporkan. Sebelum ini, Algeria naik angin apabila dron dipercayai milik stesen televisyen tempatan KMBC 9 menceroboh sesi latihan tertutup pasukan itu di Kansas.