Dua Bekas Bintang JDT Pacu Kelab Australia Ke Asia
MakanBola
Adelaide United

Dua bekas bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) membantu kelab Australia, Adelaide United layak ke saingan playoff Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim hadapan.

Dua pemain tersebut ialah pemain perancang Sepanyol, Juan Muniz dan pemain tengah Brazil, Anselmo.

Kedua-duanya membantu Adelaide menamatkan kempen A-League Premiership di tempat kedua dengan 43 mata, lima mata di belakang Newcastle Jets yang menduduki tangga pertama.

Hal ini turut dibantu dengan perubahan membabitkan ACLE bermula pada musim hadapan. Musim 2026/27 menyaksikan bilangan pasukan bertambah dari 24 kepada 32 pasukan.

Bersesuaian dengan perubahan ini, agihan slot kelayakan ACLE juga ditambah termasuk slot playoff.

Australia menerima satu slot tambahan iaitu slot playoff. Ini selepas agihan slot kelayakan ACLE untuk negara ahli (MA) dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Bola Sepak Profesional AFC baru-baru ini.

Susulan itu, slot playoff ACLE Australia diperuntukkan kepada pasukan yang meraih tempat kedua A-League Premiership.

Sejak menyertai pasukan itu pada musim ini, Anselmo dan Muniz masing-masing merekodkan 24 dan 12 penampilan dalam A-League. Kedua-duanya turut menyumbang dua dan tiga gol buat Adelaide United.

Sekiranya Adelaide berjaya melepasi aksi playoff, Anselmo, Muniz dan kelab itu berpeluang menentang JDT di peringkat Liga Timur ACLE.