ACLE 2026/2027 Bertambah Pasukan, Tiada Slot Baharu Buat Malaysia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim hadapan sah menyaksikan pertambahan pasukan dari 24 kepada 32 pasukan.

Ini selepas Jawatankuasa Bola Sepak Profesional Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) meluluskan syor penambahbaikan untuk ACLE termasuk penambahan bilangan pasukan.

Mesyuarat jawatankuasa sama turut meluluskan syor agihan slot ACLE, Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan Liga Cabaran AFC (ACLT) bermula untuk musim 2026/27.

Seperti dijangka, Malaysia tidak menerima slot tambahan untuk ACLE. Hal ini menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal menjadi wakil tunggal negara dalam kejohanan berprestij itu selepas bergelar juara Liga Super.

Sementara slot ACL2 pula diperuntukkan kepada naib juara Liga Super selepas JDT muncul juara Piala FA musim ini.

Slot tempat kedua Liga Super kini menjadi rebutan tiga pasukan iaitu Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Kuching City FC dan Selangor FC.

Antara negara yang menerima slot tambahan untuk ACLE ialah Arab Saudi, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Qatar, Jordan dan Vietnam.

Semua keputusan Jawatankuasa Bola Sepak Profesional akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC untuk diluluskan.

Setelah itu, semua perubahan yang dinyatakan termasuk agihan slot akan dimaklumkan kepada semua negara ahli (MA) AFC.