Piala Dunia
Ben Jacobs
Advertisements

Dua gol Kylian Mbappe membantu juara dunia Perancis menang selesa ke atas Poland 3-1 dalam aksi kalah mata Piala Dunia 2022 hari ini. Kemenangan ini membantu mereka layak ke peringkat suku akhir.

Babak pertama menyaksikan permulaan seimbang kedua-dua pasukan sebaik sepak mula. Tetapi Les Bleus terlebih dahulu mengancam seawal minit ketiga menerusi tandukan Raphael Varane selepas menerima hantaran sepakan sudut Antoine Griezmann. Bagaimanapun, tandukan bek tengah Manchester United itu tidak mengenai sasaran.

Mbappe menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Poland menerusi larian pantasnya. Ini membuatkan orang yang mengawalnya yang juga bek kanan Aston Villa, Matty Cash berdepan kesukaran mengejar kelibatnya setiap kali mendapat bola.

Advertisements

Selang tiga minit, Perancis terus menguji kecekapan Wojciech Szczesny. Pertama, menerusi percubaan jarak jauh Aurelien Tchouameni pada minit ke-13 tetapi berjaya ditepis penjaga gol Juventus itu. Kedua, menerusi percubaan Ousmane Dembele pada minit ke-16 selepas berjaya melepasi pertahanan Poland tetapi percubaannya tersasar.

The Eagles yang sekali-sekala mengasak hampir mencemaskan penjaga gol Perancis, Hugo Lloris menerusi percubaan bekas penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski pada minit ke-20. Bagaimanapun, percubaan jarak jauhnya sedikit tersasar sekaligus melegakan pemain dan penyokong Perancis.

Giroud hampir meletakkan Perancis di hadapan sembilan minit selepas itu. Griezmann yang membuat larian menghantar bola kepada Dembele sebelum penyerang Barcelona itu melorongkan bola kepada Giroud. Tetapi malangnya, bola yang ditolak bekas penyerang Chelsea itu tersasar daripada memasuki gawang Poland yang terbuka.

Advertisements

Kegagalan ini memberi keyakinan kepada The Eagles menguji Lloris menerusi Piotr Zielinski pada minit ke-38. Sepakan pemain tengah Napoli itu berjaya ditepis Lloris sebelum cubaan susulan Jakub Kaminski dikeluarkan dari garisan gol oleh Varane.

Olivier Giroud Perancis Piala Dunia 2022 Joe Crann Dua Gol Mbappe Bawa Perancis Ke Suku Akhir Piala Dunia
Olivier Giroud meraikan pencapaiannya sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Les Bleus. Gambar: Joe Crann

Menjelang minit akhir babak pertama, Les Bleus akhirnya mendahului menerusi Giroud. Selepas menerima hantaran daripada Mbappe, bekas penyerang Arsenal itu mudah menewaskan Szczesny untuk gol pertama perlawanan. Dengan gol ini juga, Giroud menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Perancis mengatasi legenda Gunners, Thierry Henry.

Selepas rehat, Perancis terus menggandakan asakan bagi menambah gol kedua. Giroud hampir menambah rekodnya menerusi sepakan basikal pada minit ke-57 tetapi golnya tidak dikira berikutan kekasaran terhadap Szczesny oleh Varane semasa berebut bola.

Advertisements
Mbappe meraikan jaringannya pada minit ke-74. Gambar: CBS Sports Golazo

Tetapi hasrat Poland mengejar gol penyamaan tidak kesampaian apabila Mbappe menyumbat gol kedua pada minit ke-74. Giroud menghantar bola kepada Dembele yang membuat larian di sebelah kanan sebelum menghantar kepada Mbappe di sebelah kiri. Sebelum sempat dikepung oleh pertahanan The Eagles, graduan AS Monaco itu meledakkan gol keempatnya menewaskan Szczesny.

Dengan perlawanan kini memasuki minit-minit terakhir, Mbappe sekali lagi mencetuskan keributan dalam kalangan pertahanan Poland dengan gol keduanya pada minit ke-90. Gol terhasil apabila Marcus Thuram melarikan bola sebelum melorongkan bola kepada penyerang PSG itu. Mbappe kemudiannya meledakkan rembatan menuju ke penjuru atas gawang Poland bagi menamatkan sisa perjuangan The Eagles.

Poland bagaimanapun berpeluang mendapat gol saguhati pada minit akhir perlawanan. Ini selepas hantaran Kamil Grosicki terkena tangan Dayot Upamecano dalam kotak penalti. Lewandowski yang diberi amanah mengambil penalti untuk Poland pada awalnya dinafikan oleh Lloris. Tetapi selepas pengadil mengarahkan sepakan penalti diambil semula, Lewandowski menyepak leret menewaskan penjaga gol Spurs itu.

Advertisements

Dengan kelibat Giroud dan Mbappe ini, lawan Perancis iaitu England atau Senegal pasti gerun sekiranya berjaya melepasi perlawanan kalah mati mereka. Tetapi kedua-duanya juga bisa memberi cabaran hebat kepada Les Bleus sekiranya mereka alpa sekaligus menjanjikan perlawanan berkualiti di peringkat suku akhir.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram