Kemunculan dua individu dari Australia pada aksi Malaysia vs Nepal yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa, 25 Mac ini mencuri tumpuan.
Aksi pertama bagi Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 itu menjadi tugasan pertama buat pengendali baharu negara, Peter Cklamovski di laman sendiri.
Beliau dilantik bagi menggantikan peranan Kim Pan-gon selaku jurulatih kebangsaan di bawah era revolusi Harimau Malaya oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail.
Ujian berbeza dihadapi oleh skuad negara selepas pasukan ke-175 dunia, Nepal turut melantik jurulatih baharu bagi mengemudi cabaran pasukan tersebut.
Matt Ross yang berusia 47 tahun bergelar pengendali baharu Nepal bermula Mac ini memiliki tugas besar untuk mencipta kejayaan buat The Gorkhalis.
Acuan hebat bekas pengendali United FC di Ameriah Arab Bersatu (UAE) itu semakin terserlah apabila membantu pasukan untuk menundukkan Singapura dalam satu aksi persahabatan, 21 Mac lalu.
Peter Cklamovski turut memiliki reputasi yang baik selepas pernah bergelar pembantu jurulatih skuad kebangsaan Australia (2014-2017) dan menghabiskan sebahagian besar karier kejurulatihan di Jepun.
Usaha mempersiapkan Harimau Malaya giat diteruskan apabil seramai 30 orang pemain dipanggil ke kem latihan pusat bermula pada 17 Mac lalu.
Malaysia menerima suntikan tambahan menentang Nepal apabila terdapat dua pemain warisan baharu iaitu Hector Hevel dan Gabriel Palmero yang menyertai pasukan kali ini.