Nepal mendapat tonik berharga menjelang aksi menentang Harimau Malaya apabila menewaskan Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa.
Kedua-dua pasukan menggunakan aksi ini sebagai aksi pemanas badan sebelum mengharungi pusingan kelayakan Piala Asia 2027.
Kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin mengetuai barisan pertahanan The Lions. Pengendali Nepal, Matt Ross pula menurunkan Gillespye Jung Karki untuk mengetuai jentera serangan.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol awal di Stadium Nasional Singapura.
Penyokong setia The Lions seakan tidak percaya apabila Karki meletakkan Nepal di hadapan pada minit ke-12.
Tersentak, Singapura melancarkan serangan demi serangan menerusi Kyoga Nakamura, Abdul Rasaq Akeem dan Farhan Zulkifli.
Malangnya, setiap serangan yang direncana anak buah Tsutomu Ogura gagal membuahkan hasil. Keadaan ini menyaksikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, The Lions membuat beberapa pertukaran dengan harapan dapat meraih jaringan penyamaan.
Malangnya, gol yang dicari tidak kunjung tiba dengan barisan pertahanan The Gorkhalis kental menyerap setiap asakan.
Keadaan ini memastikan Nepal meraih kemenangan pertama di bawah kendalian Ross. Ini juga kali pertama The Gorkhalis menewaskan Singapura dalam empat pertemuan.
Singapura perlu segera melupakan kekalahan ini kerana mereka akan menentang Hong Kong pada 25 Mac. Nepal pula akan menentang Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada hari yang sama.