Dua Jurulatih Malaysia Berkelana Ke Kelab Indonesia
MakanBola
Persis Solo

Arena bola sepak Indonesia dimeriahkan dengan kehadiran dua jurulatih Malaysia yang direkrut kelab Super League (nama baharu Liga 1 Indonesia), Persis Solo.

Persis mengumumkan pelantikan Mohamad Zulhazman Zulazwar dan Khairulanwar Md. Isa sebagai sebahagian daripada barisan kejurulatihan pasukan itu.

“PERSIS mengumumkan Mohamad Zulhazman Zulazwar rasmi ditunjuk sebagai penolong jurulatih pasukan untuk musim depan.

“Untuk posisi jurulatih fizikal, kelab rasmi mengumumkan penyertaan Khairulanwar Md. Isa,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Zulhazman menggalas peranan sebagai penolong jurulatih. Khairulanwar pula memegang peranan sebagai jurulatih kecergasan fizikal Laskar Sambernyawa.

Kehadiran kedua-duanya mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyandang sebelumnya, Juan Torres Garrido dan Oscar Balaguer Cabeza.

Garrido dan Cabeza sebelum ini berkhidmat sebagai penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan kepada jurulatih Persis sebelumnya, Datuk Ong Kim Swee.

Zulhazman memulakan karier sebagai penganalisis perlawanan Kedah pada 2016. Beliau kemudiannya menjadi penganalisis perlawanan skuad Harimau Malaya dari 2017 hingga 2021.

Selepas itu, beliau menjadi penganalisis dan pembantu jurulatih bersama Selangor dari 2022 hingga 2023. Zulhazman kemudiannya menjadi pembantu Tan Cheng Hoe apabila beliau menerima tawaran kelab Thailand, Police Tero.

Khairulanwar pula memulakan tugas sebagai jurulatih kecergasan Selangor pada 2014. Setelah itu, beliau membantu kecergasan pemain beberapa kelab seperti Felcra FC, Kedah Darul Aman, Kuala Lumpur City FC dan Selangor FC Women.

Zulhazman cukup dikenali pengendali Persis, Peter de Roo. Ini kerana kedua-duanya pernah bekerjasama semasa bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).