Gelagat jurulatih Persis Solo, Datuk Ong Kim Swee dijatuhkan bekas jurulatih Malaysia B-23, Juan Torres Garrido mencuri perhatian penyokong pasukan itu.
Situasi ini berlaku dalam aksi terbaru Liga 1 Indonesia antara Persis dengan pasukan keempat dalam liga, Persebaya Surabaya di Stadium Manahan baru-baru ini.
Laskar Sambernyawa membuka tirai jaringan menerusi bekas pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Moussa Sidibe. Francisco Rivera kemudiannya menyempurnakan penalti untuk mengikat kedudukan 1-1.
Tatkala perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, penyerang Indonesia, Ramadhan Sananta meledakkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.
Berdasarkan video yang dikongsikan Persis, Garrido dilihat cuba berlari mendapatkan Kim Swee selepas Ramadhan menjaringkan gol. Malangnya, beliau tergelincir sebelum menjatuhkan bekas jurulatih Sabah FC itu.
Kedua-duanya kemudian dibantu staf kejurulatihan Laskar Sambernyawa untuk bangun sebelum kembali meraikan jaringan tersebut.
Sebaik video tersebut dimuat naik di platform media sosial rasmi Persis, ramai penyokong pasukan itu tidak kering gusi dengan gelagat Garrido.
Seorang penyokong Persis bernama Robot Riello melihat bekas jurulatih akademi Granada itu patut dilayangkan kad kuning. “Kad kuning untuk Coach Torres,” katanya di X.
Seorang lagi penyokong bernama Kampulanyep hanya ketawa melihat insiden tersebut. “Pak Ong (Kim Swee) diterjah,” ujarnya.
Keputusan ini menyaksikan Persis hanya dipisahkan dua mata dengan PSS Sleman yang menduduki tangga ke-15 dengan 17 mata.