Advertisement
Alasan Juan Torres Pilih Berkelana Ke Indonesia
Asia Tenggara
MakanBola
Persis Solo FC

Pembantu jurulatih PERSIS Solo, Juan Torres Garrido miliki alasan tersendiri memilih berkelana ke kelab Indonesia itu

Pada Selasa, Juan Torres telah diumumkan selaku pembantu jurulatih baharu bagi kelab Liga 1 Indonesia, PERSIS Solo dan bakal menyertai pasukan kejurulatihan diketuai oleh Ong Kim Swee.

“Juan Torres secara rasmi bergabung dengan pasukan kejurulatihan Laskar Sambernyawa sebagai pembantu jurulatih untuk mengharungi baki musim 2024/2025,” umum Persis Solo.

Juan dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa keputusan ke PERSIS Solo diambil sebagai langkah awal untuk maju di rantau ini selain menganggap Liga 1 Indonesia sebagai satu tempat yang menarik.

“Saya gembira dapat bergabung dengan PERSIS Solo, bagi saya ini adalah langkah awal untuk berkembang bersama bola sepak Asia Tenggara,” kata Juan dalam satu kenyataan.

“Ini (Liga 1 Indonesia) juga liga yang menarik bagi saya,” tambah bekas pengendali skuad B-23 tahun negara itu.

Tambah Juan lagi, beliau melihat senario liga bola sepak di Indonesia ketika ini sedang bergerak menuju matlamat yang ingin dicapai selain berkembang dengan maju seiring skuad kebangsaan.

“Saya rasa Liga Indonesia sedang berkembang dengan baik sekarang, dengan matlamat untuk mewujudkan dan mengembangkan liga yang bagus, juga dengan pasukan kebangsaan yang berkembang dengan sangat cepat.”

Tugas pertama Juan Torres selaku staf kejurulatihan Ong Kim Swee di PERSIS Solo adalah menentang PSM Makassar pada 13 Januari ini di laman sendiri, Stadium Manahan, Solo.

Ketika ini, PERSIS Solo berada di tangga ke-16 carta Liga 1 Indonesia iaitu tempat ketiga tercorot dengan kutipan hanya 10 mata daripada 17 perlawanan.