Pengendali skuad bawah 19 tahun Malaysia, Juan Torres Garrido masih belum memikirkan kesebelasan terbaik menjelang aksi pertama kumpulan C menentang Brunei pada Jumaat.
Pasukan muda Malaysia menyenaraikan 23 pemain untuk dibawa ke Surabaya, Indonesia bagi membawa cabaran negara dalam kempen Asean U-19 Boys Championship yang membuka tirai pada 17 Julai lalu.
Daripada senarai tersebut, pemain dari Johor Darul Ta’zim dan Selangor jelas mendominasi dengan 11 pemain datang dari kelab Harimau Selatan manakala 7 pemain merupakan tonggak Gergasi Merah.
Terengganu FC pula diwakili oleh dua orang pemain iaitu Zachary Zahidadil dan Danial Mohd Nor manakala Perak, Sabah serta Akademi Mokhtar Dahari (AMD) masing-masing diwakili oleh seorang pemain.
Dengan barisan pemain yang hebat dan berbagai profil ini, Juan Torres mengakui beliau belum memikirkan bayangan mengenai kesebelasan utama yang bakal diturunkan pada Jumaat nanti.
”Belum ada lagi (bayangan kesebelasan utama), semua pemain kini dalam keadaan terbaik dan pasukan ini sangat seimbang,” katanya setelah aksi persahabatan menentang Kemboja pada Sabtu lalu.
Anak didik Juan Torres Garrido akan memulakan kempen Asean U-19 Boys Championship menentang Brunei pada Jumaat dengan sepak mula dijadualkan pada jam empat petang waktu tempatan.