Advertisement
Skuad Muda Malaysia Tundukkan Kemboja Sebelum Ke Indonesia
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Skuad bawah 19 tahun Malaysia membawa momentum yang positif sebelum berangkat ke Indonesia dengan menewaskan Kemboja dalam aksi persahabatan pada petang Sabtu.

Aksi yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam ini merupakan perlawanan kedua membabitkan Malaysia dan Kemboja dalam tempoh 4 hari setelah kedua-dua negara terikat 2-2 Rabu lalu.

Pengendali pasukan muda negara, Juan Torres Garrido mempertaruhkan gandingan Muhammad Abu Khalil serta Haykal Danish untuk mengetuai bahagian tengah sambil Faez Iqhwan ditugaskan sebagai penjaga gol.

Seawal minit ke-12, skuad negara berjaya membuka tirai jaringan menerusi penyudah kaki kiri Danish Hakimi yang memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan Kemboja untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Arami Wafiy meletakkan Malaysia mendahului 2-0 setelah menerima umpanan cantik daripada Pavithran Gunalan di sebelah kanan gawang Kemboja pada minit ke-25 sebelum Phoeuk Thatthai merapatkan skor seminit kemudian.

Serangan bertali arus dari Kemboja akhirnya membuahkan hasil apabila jaringan penyamaan yang dicari tiba menerusi Uk Devin yang menyambut hantaran lintang dari Sorm Borith pada minit ke-30.

Separuh masa pertama tamat, Malaysia 2-2 Kemboja.

Bersambung babak kedua, skuad muda negara tidak perlu menunggu lama bagi kembali di depan apabila percubaan dari luar kotak penalti oleh Amir Farhan terus menerjah ke gawang Kemboja pada minit ke-51.

Juan Torres mula melakukan perubahan di pertengahan aksi dengan membawa keluar beberapa nama utama bagi memberi peluang buat pemain di bangku simpanan, begitu juga dengan pasukan Kemboja.

Pemain gantian, Izzat Muhammad Syahir melengkapkan kemenangan skuad muda negara dengan gol keempat hasil rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol Kemboja, Ron Chongmieng.

Aksi di Stadium UiTM Shah Alam berakhir dengan kejayaan Malaysia B-19 menewaskan skuad Kemboja B-19 dengan keputusan 4-2.

Kemenangan ini sudah semestinya melonjakkan semangat para pemain muda negara sebelum berlepas ke Surabaya, Indonesia untuk menghadapi Kejuaraan B-19 Asean yang bakal membuka tirai 17 Julai hadapan.

Bagi kempen Kejuaraan B-19 ASEAN nanti, skuad negara akan membuka tirai aksi bagi kumpulan C berdepan Brunei pada 19 Julai dan Singapura tiga hari kemudian sebelum menutup aksi kumpulan berdepan Thailand pada 25 Julai.