Menjelang kempen Kejuaraan ASEAN Bawah 19 Tahun (B-19) 2024, pengendali Malaysia B-19, Juan Torres Garrido telah memuktamadkan senarai pemain yang akan beraksi di kejohanan itu.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 23 pemain yang akan menggalas cabaran skuad negara di Surabaya, Indonesia.
Majoriti pemain yang dipanggil datang dari pasukan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Selangor FC. Kontinjen Harimau Selatan diketuai penjaga gol JDT II, Haziq Aiman Mohd Esa.
Sementara kontinjen Merah Kuning pula diketuai bintang muda yang akan beraksi di Jepun secara pinjaman, Muhammad Abu Khalil.
Terengganu FC pula diwakili oleh Zachary Zahidadil dan Danial Mohd Nor. Manakala Perak FC, Sabah FC dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) masing-masing diwakili oleh seorang pemain.
Malaysia yang juara bertahan edisi 2022 akan membuka saingan Kumpulan C dengan menentang Brunei pada 19 Julai ini. Ini disusuli aksi kedua menentang Singapura pada 22 Julai.
Skuad negara akan menutup kempen Kumpulan C dengan turun menentang Thailand pada 25 Julai ini. Tiga pasukan juara dan satu naib juara pasukan terbaik akan layak ke separuh akhir.
Sekiranya Malaysia layak ke separuh akhir, skuad negara akan berentap di peringkat tersebut pada 27 Julai ini. Aksi final dan penentuan tempat ketiga/keempat bakal berlangsung pada 29 Julai.