Bekas Pengarah Teknikal Selangor FC, Dennis Bekking percaya pemain muda negara, Muhammad Abu Khalil mampu melakar nama di bumi Jepun.
Muhammad, 19, berkelana ke Negara Matahari Terbit itu dengan menyertai kelab J3 League, FC Osaka secara pinjaman sehingga akhir tahun 2024.
Perpindahan ini direalisasikan selepas barisan staf kejurulatihan dan pengurusan kelab itu tertarik dengan bakatnya semasa menjalani sesi percubaan dari 24 Jun hingga 2 Julai lalu.
Meskipun kini menggalas peranan sebagai Pengarah Akademi PEC Zwolle, Bekking sentiasa memantau perkembangan di Malaysia terutama pasukan Merah Kuning.
Bekas Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu percaya dengan bakat yang dimiliki Muhammad, pemain muda Malaysia itu berpotensi mencipta kejutan di Jepun.
“Selamat berjaya Muhammad! (Saya) yakin anda akan mengejutkan mereka dengan IQ permainan anda, membuat keputusan tahap tinggi, kemahiran fungsi yang cemerlang dan yang paling penting, personaliti yang hebat,” katanya di X.
Muhammad menjadi pemain negara kedua yang beraksi di Jepun untuk musim 2024 selepas Luqman Hakim Shamsudin. Luqman ketika ini beraksi untuk satu lagi kelab J3 League, Yokohama Sports & Culture Club (YSCC).
Meskipun baru menyertai FC Osaka, Muhammad berharap dapat membantu pasukan itu bergelar juara J3 League pada akhir musim.