Pemain tengah muda Malaysia, Muhammad Abu Khalil berharap dapat membantu kelab barunya, FC Osaka bergelar juara J3 League.
Pemain tengah muda Selangor itu sah menyertai FC Osaka secara pinjaman sehingga akhir tahun 2024. Perpindahan tersebut diumumkan oleh kedua-dua kelab.
Sebelum ini, Muhammad telah menjalani sesi percubaan bersama pasukan itu dari 24 Jun hingga 2 Julai lalu. Prestasi baik yang dipamerkan pemain berusia 18 tahun itu memikat staf kejurulatihan dan pengurusan FC Osaka.
Sebaik perpindahannya disahkan, Muhammad mengakui merasa teruja untuk hidup dan belajar dalam dunia bola sepak Jepun yang unik dan berbeza.
“Dalam budaya bola sepak Jepun yang sangat berdisiplin dan kompetitif, saya teruja untuk berada dalam persekitaran di mana saya boleh belajar, mengasah (kemahiran) dan menunjukkan kemajuan setiap hari.
“Saya berpeluang berkomunikasi dengan pemain dan jurulatih, mereka semua adalah orang baik yang selalu memberi saya sokongan dan dorongan agar saya dapat belajar dengan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhammad tahu berdasarkan kedudukan J3 League ketika ini, FC Osaka berada di kedudukan ketiga di belakang pendahulu, Omiya Ardija dan Azul Claro Numasu.
Meskipun Omiya mendahului selesa di hadapan dengan 15 mata, pemain muda negara itu percaya beliau mampu membantu FC Osaka meraih kejuaraan liga.
“Apa yang boleh saya janjikan kepada anda (peminat FC Osaka) ialah saya akan sentiasa melakukan yang terbaik. Kami akan berjuang untuk FC Osaka dan membantu pasukan memenangi J3 League,” tambahnya.
Muhammad dijangka menyarung jersi nombor 99 apabila beraksi untuk kelab yang berpangkalan di Higashiosaka, Osaka itu.