Advertisement
Juan Torres Dilantik Pembantu Jurulatih Persis Solo
Transfer
MakanBola
Persis Solo FC

Bekas jurulatih skuad Harimau Malaya, Juan Torres Garrido diumumkan sebagai pembantu jurulatih kelab PERSIS Solo.

Pengumuman ini dibuat menerusi satu hantaran di laman media sosial rasmi PERSIS Solo yang mengumumkan Juan Torres selaku pembantu kepada jurulatih, Ong Kim Swee.

“Juan Torres secara rasmi bergabung dengan pasukan kejurulatihan Laskar Sambernyawa sebagai pembantu jurulatih untuk mengharungi baki musim 2024/2025,” umum Persis Solo.

Menurut Juan Torres, beliau gembira dapat menyertai kelab tersebut sebagai salah satu langkah untuk mengembangkan karier di rantau ini selain melihat perkembangan pesat bola sepak di Indonesia.

“Saya gembira dapat bergabung dengan PERSIS Solo, bagi saya ini adalah langkah awal untuk berkembang bersama bola sepak Asia Tenggara. Ini juga liga yang menarik bagi saya,” katanya.

“Saya telah mengikuti banyak liga sepanjang 2 tahun kebelakangan ini di Asia Tenggara, dan saya rasa Liga Indonesia adalah salah satunya,” tambah Juan Torres.

“Saya rasa Liga Indonesia sedang berkembang dengan baik sekarang, dengan matlamat untuk mewujudkan dan mengembangkan liga yang bagus, juga dengan pasukan kebangsaan yang berkembang dengan sangat cepat.”

Oleh itu, Juan Torres berharap memperoleh sokongan padu dari penyokong PERSIS dan akan berusaha membantu kelab meraih kedudukan terbaik dan selayaknya dalam aksi liga.

“Kepada para penyokong, teruskan memberi sokongan kepada PERSIS, kerana tidak lama lagi pasukan ini akan mencapai kedudukan yang sepatutnya.”

Juan Torres bakal menyertai barisan kejurulatihan PERSIS Solo yang ketika ini diketuai oleh bekas jurulatih Sabah, Ong Kim Swee yang dilantik pada penghujung November lalu.

PERSIS Solo ketika ini berada di tangga ke-16 carta Liga 1 Indonesia dengan hanya 10 mata selepas 17 perlawanan dan bakal menentang PSM Makassar pada 13 Januari hadapan.