Bekas pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee sah dilantik sebagai pengendali baharu Persis Solo.
Pelantikan jurulatih berusia 53 tahun itu diumumkan pengurusan Laskar Sambernyawa di laman sesawang rasmi pasukan itu. Kim Swee dibawa masuk sebagai pengganti tetap jurulatih sebelumnya dari Bosnia-Herzegovina, Milomir Seslija.
“Persis secara rasmi mengumumkan susuk jurulatih baru yang akan mengawal penggawa Laskar Sambernyawa pada baki musim ini.
“Demi menunjukkan komitmen menuju prestasi terbaik, PERSIS secara rasmi mengumumkan Ong Kim Swee sebagai ketua jurulatih pada Isnin, 25 November 2024,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Pelantikan beliau bukan saja menandakan tugas Hanafing dan Yogi Nugraha sebagai pemangku jurulatih Persis berakhir. Malah, ini turut menamatkan spekulasi destinasi Kim Swee seterusnya selepas memilih meninggalkan Sabah.
Bekas jurulatih Harimau Malaya itu mengakui teruja menyahut cabaran Persis dalam saingan Liga 1 Indonesia. Kim Swee berharap sentuhannya dapat membantu pasukan itu mendaki kedudukan lebih baik dalam liga.
““Saya melihat ini sebagai satu peluang bersama satu kelab yang memiliki cita-cita yang cukup tinggi, di mana saya hadir bersama Persis dan memastikan semua pihak memiliki objektif yang sama, dan objektif kita adalah untuk memastikan Persis berada di posisi yang baik.
“Dan itu merupakan tujuan utama saya, memastikan kita dapat beraksi lebih baik setelah ini,” katanya.
Sentuhan Kim Swee ditagih untuk membantu pasukan itu keluar dari kelompok tercorot Liga 1 Indonesia. Ini kerana pasukan itu hanya mengutip dua kemenangan, satu keputusan seri dan lapan kekalahan untuk musim 2024/25.
Selain memperbaiki kedudukan liga Persis, Kim Swee juga teruja melihat kemunculan ramai pemain muda dalam pasukan itu. Beliau percaya dengan gabungan pemain muda dan berpengalaman yang tepat, ini akan membantu Laskar Sambernyawa untuk lebih maju selepas ini.
“Saya memahami Persis memiliki banyak pemain muda, dan ini satu kelebihan, tapi untuk bermain di kejohanan tertinggi, kita harus memiliki kombinasi pemain senior dan pemain muda untuk bergabung.
“Ini penting untuk kita memiliki suatu corak permainan dan memiliki keseimbangan setiap posisi yang diturunkan. Kita harus memperbaiki untuk mendapatkan keputusan yang baik,” tambahnya.
Kim Swee menjadi jurulatih Malaysia terbaru yang memilih mengembangkan karier mereka di luar negara. Sebelum ini, bekas pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe pernah menyahut cabaran melatih kelab Thailand, Police Tero.
Kim Swee bakal membimbing pasukan itu untuk aksi liga seterusnya menentang Barito Putera pada 3 Disember ini.