Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee secara rasminya berpisah dengan pasukan.
Jurulatih berusia 53 tahun itu mengesahkan keputusan itu diambil menerusi satu pengumuman di laman sosialnya.
Beliau memaklumkan bahawa dirinya akan membawa haluan baharu selepas hampir 36 bulan membimbing The Rhinos.
“Dengan rasa berat hati, saya memutuskan untuk memilih haluan berbeza dengan tidak meneruskan tugasan saya sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC apabila kontrak saya tamat pada November 2024.
“Tugasan terakhir saya adalah perlawanan menentang PT Athletic pada 23 November 2024. 36 bulan bersama Sabah FC bukanlah satu jangka masa yang singkat dan perjalanan ini amat luar biasa.
Beliau juga bersyukur apabila diberikan tanggungjawab untuk membimbing Sabah FC dan memacu perjalanan pasukan sejak tahun 2021.
“Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk memimpin kelab bola sepak yang hebat ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tulus kepada Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA), YB Datuk Ir Shahelmey Yahya dan pihak pengurusan tertinggi Sabah FC atas kepercayaan dan sokongan penuh sepanjang saya berada di sini.
Kim Swee juga menghargai segala pengorbanan dan perjuangan yang diberikan oleh anak buahnya di atas padang selain meletakkan penanda aras tinggi buat pasukan bawah bayu itu.
“Kepada para pemain, saya amat berbangga dengan segala usaha dan pencapaian kita sebagai satu pasukan. Komitmen dan profesionalisme anda sama ada di atas mahupun di luar padang adalah sesuatu yang luar biasa. Bekerja bersama anda adalah satu penghormatan besar bagi saya.
“Kepada pegawai sokongan, penghargaan yang tinggi saya berikan atas usaha tanpa henti dan komitmen anda di belakang tabir. Kepakaran dan semangat anda adalah tunjang kepada segala pencapaian kita selama ini,” tambahnya.
Beliau juga merakamkan ucapan penghargaan kepada penyokong setia Sabah FC yang sentiasa berada di belakang pasukan tidak kira apa jua yang berlaku.
Antara pencapaian hebat Kim Swee adalah membantu Sabah menghuni kedudukan ketiga Liga Super tiga tahun berturut-turut dan membawa pasukan ke AFC Cup 2023.