Advertisements
Sabah Kekalkan Khidmat Ong Kim Swee
Liga Super
MakanBola
Sabah FC

Pengurusan Sabah FC bersetuju untuk mengekalkan khidmat jurulatih pasukan itu, Datuk Ong Kim Swee sehingga tamat musim 2024/25.

Perkara ini diumumkan sendiri Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Shahelmy Yahya selepas satu mesyuarat khas yang diadakan pada 5 November lalu.

Keputusan ini dibuat selepas berpuas hati dengan prestasi baik yang ditampilkan Sang Badak dalam saingan Liga Malaysia (Liga M). Ini termasuk empat kemenangan besar berturut-turut dalam Liga Super.

Shahelmy percaya keputusan ini dapat meningkatkan lagi prestasi Sang Badak terutama menjelang Piala Malaysia 2024/25 yang akan bermula pada penghujung November ini.

“Kita menaruh keyakinan tinggi kepada Ong Kim Swee akan dapat memperbaiki kedudukan di carta liga sekali gus lebih bersemangat menghadapi kempen Piala Malaysia pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, ramai penyokong Sabah menyambut baik berita berkenaan. Ini kerana ini dapat memberi kestabilan kepada pasukan itu sehingga akhir musim ini.

Bagi seorang pengguna Facebook bernama Lobuw Tidong, berita ini dijangka mendorong Sang Badak untuk memburu kedudukan kedua liga. Ini kerana kedudukan ini bakal melayakkan pasukan beraksi di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

“Terima kasih pengurusan SFC dan tahniah Datuk Ong Kim Swee, semoga terus kekal momentum kemenangan dan berjaya layak ke ACL2 tahun depan.

“Sememangnya perkhabaran baik begini yang ditunggu-tunggu peminat bola sepak Sabah,” katanya di ruang komen pasukan Sabah.

Pandangannya turut dipersetujui seorang lagi penyokong bernama JH Hashim. Ini kerana berita ini bukan saja menggembirakan penyokong.

Malah, ini dilihat satu penghargaan buat Kim Swee kerana terus membantu Sabah mencabar kelompok tiga teratas liga sejak menyertai pasukan itu pada 2021. “Terima kasih Datuk Ong Kim Swee kerana masih sudi membimbing Sabah FC,” katanya.

Sabah kini menghuni kedudukan ketiga liga selepas mengharungi 14 perlawanan. Ini selepas pasukan itu membelasah Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 4-1 di Stadium Likas pada 3 November lalu.