Dua kelab Sepanyol dilaporkan berminat mendapatkan bekas orang besi Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat.
Amat menjadi sebahagian daripada 11 pemain yang mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan gergasi selatan tanah air itu baru-baru ini.
Sejak itu, ramai peminat tertanya-tanya pasukan mana yang akan menjadi pilihan bekas bek tengah Espanyol itu.
Sebelum ini, satu laporan di Indonesia menyatakan Persija Jakarta mahu mendapatkan khidmat Amat dan pemain tengah Indonesia, Thom Haye.
Kini, Conjunto Indalico melaporkan usaha Persija bakal dicabar dua kelab LaLiga2, Almeria dan Malaga. Kedua-dua kelab turut memburu khidmat bek tengah berusia 33 tahun itu.
Seandainya Amat memilih kembali ke Sepanyol, beliau akan kembali meneruskan karier permainannya di Eropah.
Selain JDT dan Espanyol, beliau pernah beraksi untuk Swansea City, KAS Eupen, Rayo Vallecano dan Real Betis.