Advertisements
Dua Pemain India Disebut Bakal Susahkan Malaysia
Harimau Malaya
MakanBola
Indian Football Team

Menjelang aksi persahabatan antarabangsa di antara India dan Malaysia pada 18 November ini, dua pemain India telah disebut-sebut bakal memberi kesukaran buat Harimau Malaya.

Dua pemain yang dimaksukan ialah pemain sayap berbisa NorthEast United, Jithin MS dan perancang tengah berusia 21 tahun iaitu Vibin Mohanan.

Nama Jithin dan Vibin ini telah dipetik oleh media sukan India, Khelnow sebagai dua watak penting skuad India bertemu Malaysia.

“Jithin MS adalah salah satu pilihan yang paling dinanti-nantikan dan wajar oleh Manolo Marquez (jurulatih India). Pemain sayap itu telah menjadi pemain utama yang konsisten untuk kelabnya dan memainkan peranan penting dalam memastikan gelaran pertama kelabnya dalam Piala Durand 2024.

“Kehebatannya menggelecek dan membuat keputusan di hadapan akan menambah dimensi baharu kepada serangan Harimau Biru.

“Selain itu, hantaran tepatnya ke dalam kotak, kreativiti di bahagian sayap, dan hantaran tepat untuk mencari rakan sepasukan di ruang terbuka akan membantu memulihkan serangan India yang sememangnya tidak bermaya sepanjang tahun,” ulas Khelnow.

Berbeza dengan Vibin Mohanan yang beraksi di bahagian tengah. Vibin dikatakan mempunyai kelebihan dalam membuat hantaran yang mampu membelah pertahanan lawan.

Keupayaannya mengekalkan penguasaan bola dan menentukan rentak permainan harus menjadi tumpuan utama barisan pemain Malaysia untuk mengehadkan pergerakan pemain tengah kreatif ini.

Biarpun dua nama ini dipetik oleh media India, namun segala tumpuan tidak boleh diarahkan kepada dua pemain ini sahaja kerana pemain-pemain India yang lain turut memiliki kelebihan yang berbeza.

India dan Malaysia dijadualkan bertemu pada 18 November depan dan bertempat di Stadium Gachibowli, Hyderabad. Sebelum bertemu India, Malaysia dijadualkan bertemu Laos terlebih dahulu di Bangkok pada 14 November.