Terengganu dilaporkan menaruh minat untuk mendapatkan dua pemain Harimau Malaya bagi perkuat jentera serangan.
Musim lalu, Terengganu menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-5 dengan mengumpul 35 mata daripada 26 aksi selain turut bergelar semi finalis Piala FA dan Piala Malaysia.
Sungguhpun begitu, Sang Penyu berdepan isu ketumpulan barisan serangan apabila hanya merekodkan 35 gol dalam aksi liga musim ini, antara yang terendah dalam kelompok atasan.
Dengan Safawi Rasid kini akan kembali pulang ke pangkuan Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu perlu segera mencari solusi terbaik untuk menambah sengat di barisan serangan pasukan.
Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam berkongsi info terkini bahawa dua pemain kebangsaan, Syafiq Ahmad dan Haqimi Azim dikatakan menarik minat Terengganu untuk ke Pantai Timur.
”Ketika ini, saya mendapat perkhabaran dan juga spekulasi perpindahan dia (Syafiq Ahmad) akan ke Terengganu, antara pasukan yang berminat selain Haqimi Azim,” jelas Zulhelmi ketika di Nadi Arena.
”Pemain muda terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (Haqimi Azim) juga dikatakan akan membawa haluan baharu dengan Pantai Timur atau Terengganu menjadi destinasi.”
Syafiq Ahmad menghabiskan musim lalu sebagai pemain pinjaman dari JDT ke Kedah dan berpotensi besar untuk dipinjamkan sekali lagi ke pasukan lain pada musim akan datang.
Sementara, nama Haqimi Azim sebelum ini bertiup kencang akan menyertai pasukan JDT setelah tinggalkan KL City dan berkemungkinan dipinjamkan ke kelab lain seperti Syafiq Ahmad.
Sehingga kini, masih belum ada lagi pengesahan rasmi tentang khabar angin ini baik dari pihak kelab berkaitan mahupun pemain-pemain ini sendiri.