Haqimi Azim: Jaga Diri, Semoga Kita Berjumpa Lagi
MakanBola
KL City FC

Penyerang muda, Haqimi Azim meninggalkan pesanan yang menyentuh hati buat peminat dan pasukan KL City.

Pasukan KL City menutup musim Liga Malaysia 2024-2025 dengan penuh bergaya apabila mengutip 3 mata di hadapan penyokong sendiri setelah menumpaskan Kelantan DN 5-2.

Sebaik berakhirnya kempen Liga Malaysia ini, topik mengenai perpindahan menjadi bualan hangat peminat ketika beberapa pemain dikatakan akan membawa haluan baharu selepas ini.

Nama Haqimi Azim turut tak terkecuali apabila dikaitkan akan meninggalkan pasukan KL City musim depan untuk mencari haluan baru setelah bersama The City Boys sejak tahun 2022 lagi.

Lebih menguatkan khabar angin itu adalah apabila Haqimi sendiri memuat naik ucapan perpisahan untuk peminat KL City yang tampak akan menjadi musim terakhir beliau di ibu kota.

”Mungkin ini kali terakhir kita berdiri bersama sebagai satu pasukan. Terima kasih atas semua kenangan, gelak tawa, dan cabaran yang kita harungi bersama,” tulis Haqimi Azim di Instastory.

Tambah beliau, setiap memori yang dicipta bersama keluarga KL City akan sentiasa tersemat di hati walaupun mungkin tak lagi bersama selepas ini dan harap bakal bertemu lagi di lain waktu.

“Walaupun selepas ini kita mungkin membawa haluan masing-masing, setiap detik yang kita kongsi akan sentiasa dekat di hati. Jaga diri, semoga kita bertemu lagi,” coret Haqimi

Peledak berusia 22 tahun dikaitkan bakal menyertai pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) menurut laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.