Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terus memukau peminat badminton meskipun tersingkir di peringkat suku akhir Arctic Open 2024.
Ini selepas dua pukulan kuat yang dihasilkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu berada dalam carta 10 pukulan smash terpantas Arctic Open 2024.
Carta yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) itu menyaksikan Zii Jia berada pada kedudukan teratas dengan kelajuan smash 438 kilometer (km) sejam.
Pukulan ini jauh mengatasi kelajuan pukulan smash yang direkodkan pemain ke-10 dunia dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting. Anthony merekodkan kelajuan 412.8 km sejam.
Sementara pemain nombor lima China, Lei Lan Xi melengkapkan kelompok tiga teratas dengan merekodkan kelajuan pukulan 402.2 km sejam.
Zii Jia turut merekodkan satu lagi pukulan kuat dengan kelajuan 395.1 km sejam. Rekod ini mengatasi dua rekod kelajuan yang direkodkan jaguh Taiwan, Chou Tien Chen iaitu 393 dan 385.4 km sejam.
Rekod ini jelas memperlihatkan kelebihan Zii Jia yang mahir menggunakan pukulan smash yang kuat dan pantas di atas gelanggang.
Ramai peminat badminton berharap dapat melihat juara Australian Open 2024 itu beraksi dalam saingan Hylo Open 2024. Sebelum ini, Zii Jia terpaksa menarik diri daripada saingan Denmark Open 2024 selepas mengalami kecederaan buku lali.