Berita pemecatan Shin Tae-yong sebagai jurulatih skuad kebangsaan Indonesia sememangnya mengejutkan banyak pihak.
Ketua Umum Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir mengesahkan pemecatan Shin Tae-yong dan menjelaskan dua sebab utama yang menyebabkan keputusan tersebut dilakukan.
Antara sebab utama adalah komunikasi di antara pemain dan jurulatih. Umum mengetahui bahawa skuad kebangsaan Indonesia kini mempunyai ramai pemain warisan dari Belanda maka pilihan untuk menggantikan Shin Tae-yong dengan jurulatih dari Belanda adalah sesuatu yang tepat.
“Semuanya itu berdasarkan tiga faktor, iaitu perancangan konsisten, kemudian jurulatihnya juga bagus serta kualiti pemainnya juga perlu bagus. Itu tiga faktor yang tidak boleh dipisahkan.
“Jika hanya mempunyai perancangan yang bagus, jurulatihnya tidak bagus, pemain yang tidak bagus, ianya tidak mampu membawa kemajuan untuk pasukan kebangsaan.
“Kami harus berusaha menjaga dinamik. Mengenai pemahaman budaya, komunikasi juga perlu dijaga,” jelas Erick seperti dilaporkan Fajar.
Kini, rakyat Indonesia sedang menanti tarikh 12 Januari untuk pengumuman dan sidang media rasmi bagi memperkenalkan jurulatih baharu Indonesia.
Biarpun PSSI masih berteka-teki, namun wartawan terkemuka antarabangsa, Fabrizio Romano telah mendedahkan bahawa Patrick Kluivert merupakan jurulatih yang menggantikan Shin Tae-yong.