Ketua Umum PSSI, Erick Thohir menyebutkan nama Patrick Kluivert sebagai salah satu calon yang berpotensi memimpin Indonesia.
Pada Isnin, Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) mengumumkan penamatan kontrak Shin Tae-yong sebagai ketua jurulatih senior dan B-23 Indonesia berkuat kuasa serta-merta.
”Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia mengumumkan penamatan kontrak Shin Tae-yong sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan Indonesia Senior dan U-23,” umum PSSI dalam satu kenyataan.
Pemecatan Tae-yong ini sekaligus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong Indonesia dan juga jiran serantau mengenai identiti jurulatih baharu yang akan memimpin Sang Garuda.
Menurut Ketua Umum PSSI, Erick Thohir, terdapat 3 orang jurulatih yang telah ditemu ramah bersama para pembantu mereka dengan salah seorang calon adalah bekas bintang Belanda, Patrick Kluivert.
“Untuk jurulatih-jurulatih yang ditemu ramah, ada 3 nama, bersama dengan pembantu sebagai pendamping jurulatih kerana kami yakin tiada yang sempurna, pasti ada kurang,” kata Erick Thohir.
“Memang salah satu calon yang saya temui dalam temu ramah yang disebutkan tadi (adalah Patrick Kluivert),” tambah Erick Thohir memetik laporan MakanBola Indonesia.
Oleh itu, Erick Thohir berharap orang ramai mampu bersabar sehingga tanggal 12 Januari ini untuk mengikuti sesi sidang media bersama pengendali baharu Indonesia yang akan tiba sehari sebelum itu.
“Tetapi daripada meneka-neka, pada 11 Januari nanti, jurulatih yang kami persetujui akan tiba, dan pada 12 Januari akan diadakan sidang media, di mana media boleh bertanya terus kepada jurulatih tersebut,” katanya lagi.
Kali terakhir Patrick Kluivert bergelar jurulatih adalah ketika membimbing Adana Demirspor di Turki sekitar penghujung tahun 2023 selain melatih Curacao dan akademi Barcelona.
Dua lagi calon tidak disebutkan oleh Erick Thohir namun CNN Indonesia melaporkan, bekas pengurus Manchester United, Louis van Gaal dan Marco van Basten menjadi bualan ramai.