Jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong percaya pasukan itu berpeluang meraih gelaran juara ASEAN Championship 2024 sekiranya mendapat khidmat pemain-pemain utama mereka.
Kempen ASEAN Championship 2024 menyaksikan Tim Garuda menurunkan ramai pemain muda. Ini disebabkan ramai pemain utama yang berpangkalan di luar negara tidak dapat menyertai skuad kali ini.
Keadaan ini menyebabkan Tae-yong hanya dapat memanggil Asnawi Mangkualam, Pratama Arhan, Ronaldo Kwateh, Rafael Struick dan Marselino Ferdinan.
Situasi ini menyebabkan Indonesia bergelut dalam Kumpulan B ASEAN Championship 2024. Tim Garuda hanya meraih satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.
Hal ini menyebabkan Indonesia menamatkan kempen kumpulan di tangga ketiga sekaligus gagal layak ke separuh akhir. Meskipun begitu, Tae-yong merasakan ia satu pendedahan yang baik buat barisan pemain muda Indonesia.
“Anda boleh kata ini satu kegagalan kerana kita gagal layak ke separuh akhir. Walau bagaimanapun, saya fikir dari sudut berbeza.
“Dalam kejohanan ini, kita hanya gunakan skuad muda. Jika kita gunakan skuad (senior) yang kuat, saya pasti Indonesia akan memenangi kejohanan ini,” katanya seperti dilaporkan portal Vietnam.vn.
Tae-yong percaya pengalaman bersaing dalam ASEAN Championship bakal membantu barisan mudanya bila mereka menghadapi kejohanan penting pada 2025. Ini termasuk temasya Sukan SEA 2025.
“Kejohanan ini memberi pemain muda banyak pengalaman dan peluang untuk bersaing. Pemain yang bersaing dalam kejohanan ini akan bersaing dalam Sukan SEA dan kelayakan Piala Asia B-23. Tiada apa yang perlu dibimbangkan.
“Sudah tentu saya lihat ada kekurangan. Sudah tentu, pemain-pemain berdepan kekurangan dari segi fizikal dan sebagainya. Bukan mudah bermain menentang skuad senior negara lain,” tambahnya.
Indonesia kini mengalihkan fokus kepada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 yang bersambung pada Mac 2025.