Advertising
Indonesia Tersungkur, Vietnam & Filipina Mara Ke Separuh Akhir
MakanBola
Timnas Indonesia

Perlawanan terakhir peringkat kumpulan B ASEAN Mitsubishi Electric Cup menyaksikan Indonesia tewas di tangan Filipina sekaligus mengucapkan selamat tinggal lebih awal.

Filipina hadir ke gelanggang lawan dengan misi besar untuk membawa pulang 3 mata bagi memburu tempat ke separuh akhir tatkala Indonesia hanya mencari sekurang-kurangnya keputusan seri.

Barisan pemain Indonesia ditunjangi Rafael Struick, Asnawi Mangkualam dan Marselino Ferdinan sementara penyerang kelab Norway, Bjorn Kristensen mengetuai jentera serangan Filipina.

Ad

Permainan terhenti seketika di awal aksi apabila penjaga gol Filipina, Patrick Deyto mengalami kecederaan akibat diterjah oleh pemain Indonesia memaksa Quincy Kammeraad dibawa masuk.

Suasana menjadi hangat seketika apabila kapten Indonesia, Muhammad Ferrari dilayangkan kad merah kerana menyiku ketua pasukan Filipina, Amani Aguinaldo pada minit ke-42 permainan.

Ad
Ad

Kelebihan seorang pemain gagal dimanfaatkan oleh Filipina untuk meledak jaringan dengan peluang terbaik hadir hasil tandukan Bjorn Kristensen namun ditepis keluar oleh Cahya Supriadi.

Ad

Separuh masa pertama tamat, Indonesia 0-0 Filipina.

Kembali dari bilik persalinan, Sang Garuda lebih bersemangat memburu gol dengan percubaan Hokky Caraka dan Achmad Syarif hampir membuka tirai jaringan sebelum dinafikan oleh Kammeraad.

Pada minit ke-63, Filipina mendahului permainan menerusi tendangan penalti Bjorn Kristensen setelah bola mengenai tangan pertahanan, Donny Tri Pamungkas di dalam kotak penalti Indonesia.

Usaha anak-anak buah Shin Tae-yong bagi mencari jaringan penyamaan tampak tidak membuahkan hasil dengan Filipina terus kebal mempertahankan satu gol yang dimiliki hingga aksi tamat.

Aksi di Stadium Manahan, Solo berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Filipina.

Satu lagi aksi peringkat kumpulan B menyaksikan Vietnam menumbangkan Myanmar 5-0 dengan Bui Vi Hao, Nguyen Quang Hai, Rafaelson dan Tien Linh muncul penjaring gol.

Dengan dua keputusan ini, Vietnam dan Filipina melangkah ke peringkat separuh akhir dan bakal menanti mereka adalah dua wakil dari kumpulan A iaitu Thailand dan juga Singapura.

Vietnam bakal berdepan Singapura dalam aksi separuh akhir manakala Thailand akan bertemu Filipina dengan perlawanan pertama dijadualkan pada 25 dan 26 Disember hadapan.