Thailand mengesahkan final ASEAN Hyundai Cup 2026 menjadi milik mereka apabila berjaya mencatatkan keputusan menang 4-3 secara agregat ketika bertemu Singapura pada Selasa.
Singapura memburu kemenangan besar ke atas tuan rumah di halaman lawan bagi mara ke final. Thailand pula mahu mengulangi kembali pencapaian ke peringkat akhir seperti edisi lepas.
Aksi separuh masa pertama disajikan dengan beberapa peluang keemasan dari pasukan tuan rumah menerusi Patrik Gustavsson namun percubaan berbahaya tersebut berjaya ditepis oleh penjaga gol Singapura, Izwan Mahbud pada minit ke-4.
Selepas itu, Sarach Yooyen turut melepaskan percubaan rembatan kencang kaki kiri dari luar kotak penalti namun sekali lagi berjaya diselamatkan.
The Lions turut melakukan serangan menerusi Ilhan Fandi pada minit ke-29. Namun, rembatan kaki kanan beliau sedikit tersasar dari gawang Thailand.
Rembatan kencang kaki kanan Harhys Stewart pada penghujung separuh masa pertama memberikan jaringan sulung buat pasukan Singapura dalam aksi ini.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 0-1 memihak pasukan pelawat, Singapura sekali gus merapatkan jurang gol agregat.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan tampak saling berbalas serangan bagi mencerahkan peluang mara ke final Piala Hyundai ASEAN 2026.
Kyoga Nakamura melakukan rembatan dari luar kotak penalti namun percubaan beliau gagal menepati sasaran.
Kakana Khamyok menjarakkan defisit gol kembali selepas berjaya meledak jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-61.
Singapura sekali lagi merapatkan kedudukan hasil jaringan sendiri pemain Thailand, P. Hemviboon pada minit ke-65 sekali gus menghangatkan kembali perlawanan.
Memasuki masa kecederaan babak kedua, Singapura tampak masih gagal mencari gol tambahan untuk mengikat kedudukan kembali.
Aksi di Stadium Rajamangala, Bangkok tamat dengan keputusan 4-3 secara agregat memihak kepada pasukan tuan rumah, Thailand sekali gus mengesahkan kemaraan ke pentas final dan dijadualkan bertemu pemenang antara Vietnam & Malaysia dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.